PDRM kenalpasti 29 individu terlibat himpunan di ibu negara semalam

0
54
ACRYL SANI

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti 29 individu bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, pihaknya kini sedang turut mengenal pasti beberapa individu lain melalui rakaman video dan gambar.

Kata Acryl Sani, kesemua individu yang telah dikenal pasti akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

“Selain itu, polis juga menerima lebih 20 laporan polis berhubung perhimpunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan secara jelas telah melanggar syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.

“Sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab terutama dalam situasi penularan wabak COVID-19 ini.

“Polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain yang relevan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here