Pelabur tidak perlu ragu-ragu, Brainy Bunch patuhi proses terbitkan saham amanah – AWARIS

0
113

Brainy Bunch di Cyberjaya. foto FARID JANUDIN

CYBERJAYA – Amanah Warisan Bhd (AWARIS), institusi pemegang amanah patuh syariah menegaskan unit saham amanah yang ditawarkan syarikat Brainy Bunch adalah mematuhi proses undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan telah melalui tapisan yang ketat sebelum dibenarkan berbuat demikian.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, sebagai sebuah institusi yang dilantik sebagai pemegang amanah, pihaknya tidak hanya bertindak secara tangkap muat sebaliknya siasatan rapi dilakukan melalui proses ketelitian wajar (due diligence) supaya setiap proses, syarat dan undang-undang dipatuhi.

Beliau berkata, sebelum diluluskan pihaknya telah memeriksa latar belakang syarikat berkenaan, punca pendapatan diperoleh dan akaun pelabur supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti bertentangan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).

“Di AWARIS kita mempunyai jabatan undang-undang dan pengawal selia syariah supaya setiap dokumen yang dikemukakan mematuhi kehendak perundangan dan syariah.

“Untuk menerbitkan amanah saham seperti ini, pihak penerbit atau pun issuer yang berpengalaman luas seperti Brainy Bunch yang mempunyai track record baik selama 10 tahun akan memberikan keyakinan kepada pelabur termasuk kami sebagai pihak pemegang amanah.

“Bagi saya apa yang pasukan Brainy Bunch lakukan adalah yang terbaik dan saya sangat teruja,” katanya dalam sesi siaran langsung Malakat Eco bertajuk Rahsia Bebas Riba Bagi Usahawan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim, semalam.

Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz

Baru-baru ini, Brainy Bunch menawarkan pemilikan saham kepada orang ramai dalam institusi pendidikan awal kanak-kanak itu dengan harga serendah RM5,000 seunit.

Mengulas lanjut, katanya, track record syarikat yang baik sangat penting bagi pelabur untuk mereka menambah nilai pelaburan di masa hadapan sekiranya syarikat berkenaan berminat untuk menerbitkan lagi unit amanah saham untuk projek berikutnya.

Dalam pada itu, Ahmad Saruji juga menasihatkan pelabur tidak mengharapkan keuntungan dalam tempoh masa yang singkat kerana setiap pelaburan mengambil tempoh masa.

“Pelabur jangan letak duit hari ini lepas sebulan dah nak untung empat peratus, ini sangat mustahil. Dalam berniaga ada untung dan rugi sebab itu dalam Islam tak boleh ada jaminan keuntungan.

“Bila banyak untung, kita bagi pada pelabur bila tak ada untung kita sabar, yang penting pelaburan itu patuh undang-undang manakala pemegang amanah atau trustee pula penting untuk mengawal selia pelaburan berkenaan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat nilai minimum untuk satu unit amanah saham, katanya, tiada nilai minimum diletakkan tetapi angka tersebut perlu mudah dikira.

Pada masa sama, katanya, sebagai sebuah syarikat berlandaskan Islam, adalah menjadi satu tanggungjawab sosial untuk melibatkan lebih ramai umat Islam dalam sesuatu pelaburan.

“Kita hendak buat secara berjemaah sebab itu saya rendahkan jumlahnya, kalau saya tinggikan tak ramai orang Islam akan terlibat. Tak semua orang ada modal RM50,000 atau RM100,000, tetapi bila kita letak RM5,000 maka lebih mudah untuk ajak rakan-rakan yang lain.

“Sebenarnya, kita boleh saja letak RM300,000 untuk satu unit untuk cepatkan sasaran dana diperoleh tetapi akhirnya kita boleh bilang dengan jari sahaja siapa yang jadi pelabur, dan sebab itu dalam Permodalan Nasional Bhd (PNB) mereka benarkan pelabur melabur serendah RM10 atau RM100.

“Malah, penoreh getah selepas menjual hasil pun boleh tambah jumlah saham mereka setiap hari, jadi kenapa kita tidak boleh jadi seperti PNB? Ini adalah fardu kifayah, kalau kita susahkan orang dengan letak nilai pelaburan sehingga RM200,000 seunit, maka ramai yang tidak terlibat dan akhirnya tiada lagi ‘jemaah’ terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, masa sekarang ialah tempoh terbaik untuk mengambil alih hartanah di pasaran memadangkan banyak yang dijual murah berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, sekiranya terdapat sejuta pelabur yang turut serta bersama-sama melabur, lebih banyak dana dapat dikumpul untuk membeli hartanah strategik.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here