Peluang miliki unit saham Brainy Bunch masih dibuka, cepat rebut peluang – Coach Fadzil

0
258

Brainy Bunch di Cyberjaya. foto FARID JANUDIN, 1 JULAI 2020

CYBERJAYA – Peluang orang ramai untuk menjadi pemilik bersama institusi pendidikan awal kanak-kanak, Brainy Bunch melalui pegangan dalam Unit Saham Amanah Brainy Bunch masih dibuka sehingga 31 Ogos ini.

Menurut Pengasas Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim, peluang itu dibuka bagi memberi peluang kepada lebih banyak rakyat Malaysia khususnya penyokong dan pendokong institusi pendidikan awal kanak-kanak itu sejak ia ditubuhkan 11 tahun lalu.

“Untuk menjadi pemilik bersama ini kita akan terus buka kepada seluruh rakyat Malaysia dan bukan rakyat Malaysia serta institusi pendidikan lain sehingga 31 Ogos ini. Bagaimanapun, keutamaan kami pada masa sekarang ialah untuk ahli keluarga Brainy Bunch, alumni dan penyokong Malakat Eco.

“Jumlah minimum pelaburan ialah RM5,000 untuk seunit Unit Saham Amanah Brainy Bunch dan pelabur boleh membeli berapa unit pun malah kami juga mendapat tawaran untuk melabur dengan nilai RM1 juta.

“Kepada pelabur yang berminat kena cepat rebut peluang ini sebab kami hanya buka 60,000 unit sahaja dan setakat ini kami telah mencapai nilai pelaburan lebih RM2 juta,” katanya dalam sesi siaran Malakat Eco Talk yang bertajuk Jadi Pemilik Bersama Brainy Bunch dengan RM5,000 semalam.

Mohd Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pihaknya menyasarkan nilai pelaburan saham amanah itu sehingga RM300 juta daripada pelaburan yang ditawarkan.

Katanya, pelancaran unit saham amanah itu merupakan sebahagian daripada ‘Brainy Bunch Exponential Growth Plan’ yang mensasarkan beberapa matlamat antaranya nilai perniagaan mencecah RM10 bilion dalam masa 10 tahun tahun dan disenaraikan di NASDAQ.

Suasana dalam kelas di sekolah antarabangsa Brainy Bunch Montessori.

Mengulas lanjut, Coach Fadzil berkata, sebagai contoh sekiranya seorang pelabur itu melabur sebanyak RM5,000 mereka berpeluang mendapat keuntungan sebanyak RM50,000 dalam tempoh 10 tahun.

“Ini bermaksud sebelum ke IPO mereka akan mendapat unit saham. Biasanya kalau kita buat pelaburan pasif di institusi kewangan lain kita hanya dapat pulangan atau ROI sekitar lima hingga 25 peratus tetapi kalau buat sepenuh masa mungkin ROI berbeza.

“Bagaimanapun, menerusi kaedah ‘capital mechanism’ yang kita sedang lakukan sekarang, kita boleh dapat ROI sehingga 900 peratus.

“Kenapa kita pilih NASDAQ? Ini adalah kerana NASDAQ boleh memberikan nilai berganda yang tertinggi untuk syarikat yang beroperasi di seluruh dunia. Ia sekali gus memberikan peluang kepada pemegang Saham Amanah Brainy Bunch mendapat minimum 10 kali ganda nilai pelaburan,” ujarnya.

Suasana dalam kelas di Brainy Bunch, Cyberjaya ketika PKP. foto FARID JANUDIN, 1 JULAI 2020

Dalam pada itu menjawab persoalan mengapa perlu mengambil masa selama 10 tahun sebelum disenaraikan di NASDAQ, katanya, ia sebagai langkah untuk mendapatkan nilai maksimum IPO sebelum disenaraikan di NASDAQ.

“Strategi kita melabur keuntungan ini adalah untuk berkembang dengan lebih cepat dan bukan untuk membayar dividen pada peringkat awal kecuali kita sudah sangat berkembang dan sudah ada duit yang banyak untuk dapat keuntungan, insya-Allah masa itu kita akan buat bayaran.

“Bagaimanapun strategi kita sekarang ialah untuk maksimumkan nilai IPO. Sebenarnya kita boleh buat kedua-duanya sekali tetapi sasaran kita adalah untuk maksimumkan nilai IPO dalam perniagaan dan nak dapatkan lebih banyak dana untuk beli aset yang strategik dan mengukuhkan syarikat,” ujarnya.

Sementara itu, Coach Fadzil berkata, bagi mereka yang mendaftar awal juga akan diberikan hadiah berupa akaun rujukan dan mendapat RM50 dalam pelaburan emas Quantum Metal dan mendapat buku Pelaburan Emas Coach Fadzil yang mendedahkan rahsia untuk melipat gandakan pelaburan emas.

Lebih menarik, katanya, untuk hadiah dan tawaran terhad itu juga pihaknya akan memberikan tawaran istimewa dengan hanya perlu membuat bayaran sebanyak RM50,000 untuk mendapatkan pendidikan di peringkat awal kanak-kanak hingga menengah.

“Tawaran ini hanya untuk 100 orang, mengikut nilai semasa kos seorang murid di tadika ialah sekitar RM1,000 setahun, kalau sekolah antarabangsa untuk rendah dan menengah ialah sekitar RM17,000 setahun.

“Jadi untuk seorang murid dari mula belajar hingga tamat ialah sekitar RM246,000 namun begitu untuk tawaran istimewa ini mereka hanya perlu bayar RM50,000 berbanding RM246,000. Untuk yang berminat boleh daftar di bit.ly/BrainyBunchOffer manakala untuk unit amanah pula boleh mendaftar di pautan https://www.brainybunchtrustfund.com/.

“Jika ada sebarang pertanyaan pula, kita akan masukan ke dalam kumpulan Telegram yang akan berfungsi sebagai pasukan sokongan untuk pelabur mengajukan soalan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here