Pembatalan Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit-PM

0
93
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA- Proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun katanya, dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit .

Maka katanya, selaras dengan titah Agong dan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, usul untuk membahas dan mengungkaikan ordinan-ordinan darurat boleh dibawa dalam sidang parlimen September ini.

“Selaras dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2021.

“Usul ini yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan- ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here