Pembunuh warga Nigeria dihukum gantung sampai mati

0
1274
Alowonle Oluwajuwon Gilbert

CYBERJAYA – Kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang berlaku dua tahun lalu dianggap selesai apabila suspek utama kes itu dijatuhkan hukumam gantung sampai mati hari ini.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman hari ini menjatuhkan hukuman itu kepada lelaki warga Nigeria, Alowonle Oluwajuwon Gilbert,38, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Memetik laporan Sinar Harian, Ab Karim ketika membaca keputusan penghakimannya berkata, kenyataan tertuduh (ketika perbicaraan) bahawa dia tidak bersama Siti Kharina selepas jam 8 malam pada 8 Mei 2019 adalah bersifat penafian semata-mata dan terkemudian.

Dakwaan itu katanya bertentangan dengan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Tertuduh juga tidak dapat menjelaskan kesan asid deoksiribonukleik (DNA) darah Siti Kharina di baju tertuduh pada pagi, 9 Mei 2019.

“Pihak pembelaan juga tidak pernah mempertikaikan baju yang dipakai oleh tertuduh yang mempunyai kesan darah DNA milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan tertuduh memberi keyakinan kepada mahkamah bahawa tertuduh ada bersama Siti Kharina pada hari kejadian.

Tanpa keraguan munasabah itu juga, katanya, ia menunjukkan bahawa ada kemungkinan tertuduh yang membunuh ibu kepada tiga anak itu.

Malah, beliau berkata, tertuduh tidak pernah menjelaskan bahawa dia tidak berada di lokasi pada hari kejadian.

“Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap anda, hukuman mati dan mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman hingga keputusan rayuan,” katanya.

Sebaik hukuman itu dibacakan, Gilbert yang hadir dengan memakai baju dan seluar penjara warna putih, tunduk dan menangis di dalam kandang tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Shafinah Taib.

Pada 16 Julai 2020, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh Siti Kharina.

Gilbert ketika kejadian berusia 36 tahun, dituduh membunuh Siti Kharina di satu unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara jam 12.41 pagi, 9 Mei 2019 dan 2.30 petang, 15 Mei tahun sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here