Pemimpin bercakaran memalukan negara – YADIM

0
40
YADIM

PUTRAJAYA – Sikap pemimpin negara yang bercakaran merebut kuasa dalam keadaan keselamatan dan kesihatan rakyat yang semakin terabai bukan sahaja merugikan malah memalukan negara.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hassan berkata, dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin meruncing, pemimpin tertinggi negara seharusnya mengutamakan nasib rakyat.

Sehubungan itu, YADIM bersama 130 rakan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bersama dalam Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) menyeru semua pihak menghentikan pertelagahan yang memecah belahkan negara ketika ini.

“Pemimpin yang bercakaran menghabiskan lebih banyak masa dan tenaga untuk kepentingan sendiri, hingga tanggungjawab membela rakyat semakin diabaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin berkata, dalam seruan itu pihaknya senada dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menyeru semua pemimpin di negara ini supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah.

“Titah baginda bahawa semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah juga perlu diberikan perhatian oleh semua.

“Pada masa yang sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah AlSultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga bertitah bahawa sekarang bukan masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri,” katanya yang mengingatkan semua pihak menjunjung titah Raja Melayu itu.

Sultan Ibrahim semalam semasa pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Johor menzahirkan rasa dukacita kepada sikap pemimpin dan wakil rakyat yang mengabaikan nasib rakyat.

Dalam titah itu, baginda mengingatkan supaya wakil rakyat supaya tidak menjadikan dewan persidangan sebagai ‘sangkar beruk’ dengan perangai bercakaran sesama sendiri.

Badinga juga bertitah tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here