Pengasas Rumah Bonda mengaku tidak bersalah abaikan kanak-kanak OKU

0
41
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

siti Bainun, 29, memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen di sini,

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, mengabaikan mangsa sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Irama Wangsa Kondominium, Seksyen 10, Wangsa Maju, di sini, antara Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias, menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana membabitkan kes berkepentingan awam dan mendapat perhatian media.

“Tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai polis berhampiran.

“Mangsa dalam kes ini merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down selain tertuduh terbabit dalam kegiatan politik,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, memohon jaminan rendah dengan alasan sudah memberikan kerjasama kepada pihak polis selain berjanji tidak akan gagal hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

“Kesemua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak,” katanya.

Pada pertengahan Julai lalu, media melaporkan seorang wanita yang juga pengasas Rumah Bonda ditahan polis selepas hadir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang remaja OKU.

Polis juga memohon supaya wanita itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu, bagaimanapun Mahkamah Majistret menolak permohonan itu berikutan ia dilakukan melebihi tempoh 24 jam dari wanita itu ditahan.

Remaja yang mengalami sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Sehubungan itu, rumah kebajikan itu turut disita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here