Pengetua sekolah antara 26 guru di Perlis tolak divaksin

0
483
Gambar arkeb. Foto / FaridJanudin

KANGAR – Seorang guru berpangkat pengetua antara 26 guru sekolah di Perlis yang menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Exco Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, jumlah itu merupakan baki daripada keseluruhan 91 orang guru yang sebelum ini turut bertindak sedemikian.

Bagaimanapun, kata Rozieana, usaha ‘memujuk’ yang berterusan membuahkan hasil apabila 65 guru dari kumpulan itu berubah fikiran untuk divaksin.

“Daripada perbincangan dengan Pengarah Pendidikan, masih ada 26 guru yang dalam kategori belum bersedia mendapat vaksin.

“Jadi, saya merayu kepada golongan guru ini supaya melihat kepentingan pelajar. Kalau boleh kita nak elakkan anak-anak ni (daripada) terus ketinggalan dalam pendidikan.

“Bila semua ada vaksin maknanya kita boleh buka sekolah dan itulah cara paling mudah untuk anak-anak ni catch up dalam pelajaran sebab ramai yang ketinggalan, kesian pada mereka,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Beliau berkata, pihaknya mahu kesemua golongan pendidik termasuk kakitangan sekolah di negeri itu lengkap menerima dua dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka nanti.

Berikutan itu, katanya pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, akan meneruskan usaha memujuk kumpulan guru terlibat dan membantu memberikan penerangan serta kaunseling supaya mereka sedia menerima suntikan.

Untuk rekod setakat ini, kira-kira 200 guru masih dalam proses melengkapkan dua dos vaksinasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here