
GOPENG – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenalpasti satu kes penjualan sijil vaksinasi dalam bentuk kad fizikal secara dalam talian di utara tanah air.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Unit Inspektorat dan Perundangan KKM akan mengambil tindakan ke atas pihak terbabit, manakala laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.
“Kita tidak membenarkan penjualan (sijil vaksinasi) ini kerana ia adalah satu penipuan sebab akan ada individu melakukan penipuan mengatakan dia sudah menerima dua dos vaksin Covid-19.
“KKM tidak ada mengeluarkan atau membuat perolehan kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad vaksinasi kerana sekiranya mahu dine-in (makan di premis) atau merentas daerah, mereka perlu menunjukkan sijil digital di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi yang dikeluarkan oleh KKM,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di Kompleks Jabatan Kemajuan Masyarakat di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar Datuk Dr Mohd Rushdan Mohd Noor dalam hantaran melalui laman Facebook beliau, mendedahkan sijil vaksinasi Covid-19 dalam bentuk kad fizikal sudah dijual secara dalam talian.
Beliau turut menyiarkan tangkap layar penjualan kad fizikal dalam talian yang tertera sijil digital vaksinasi Covid-19 yang dicetak dan dijual pada harga RM15.