Peratusan pesakit baru Covid-19 di HTAR turun lebih separuh

0
46
Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang

CYBERJAYA – Kadar kemasukan harian pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lepas.

Berdasarkan statistik HTAR, pengurangan jumlah kes mula dikesan pada awal bulan lalu dengan purata 170 kes berbanding 400 kes sebelum ini.

Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd Rawi berkata, pesakit Covid-19 yang menerima rawatan kini didapati berkurangan iaitu kurang daripada 900 orang.

“Pesakit Covid-19 yang kini menerima rawatan di hospital berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas. Setakat pukul 1 tengah hari tadi, pesakit sedia ada tidak sampai 900 orang. ‘Gelombang’ kemasukan pesakit di HTAR ini berlaku pada awal Julai sehingga pertengahan bulan lepas.

“Alhamdulillah kini jumlah (kemasukan pesakit) turun sejak minggu lepas. Susulan keadaan ini secara tidak langsung berlaku penurunan kepada pesakit kategori tiga ke atas untuk dimasukkan ke dalam wad,” katanya.

Beliau mengulas laporan media berhubung keadaan semasa di HTAR berikutan berlaku trend penurunan kemasukan pesakit Covid-19 sejak sebulan lepas dan paling ketara di Hospital Kuala Lumpur sejak seminggu lepas.

Dr Zulkarnain menjelaskan penurunan kes kemasukan pesakit itu membuktikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula membuahkan hasil dan keadaan di hospital berkenaan juga dalam situasi terkawal.

Katanya sehingga pukul 1 tengah hari semalam, pengisian katil bagi unit rawatan rapi (ICU) pesakit Covid-19 adalah sekitar 92 peratus.

“HTAR kini dalam keadaan terkawal dan kita meliputi semua pegawai serta kakitangan sentiasa terus komited untuk memerangi pandemik.

“Saya turut berharap trend penurunan ini akan berterusan dan meminta orang ramai terus mengambil vaksinasi masing-masing,” ujarnya.

Tambah beliau, pengisian katil bagi unit rawatan rapi (ICU) pesakit Covid-19 di hospital itu kini kira-kira 92 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here