Persatuan Ulama Malaysia gesa pemimpin dengar nasihat Raja

0
116
Datuk Abdul Halim Abdul Kadir

CYBERJAYA – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyeru rakyat pemimpin-pemimpin parti politik di negara ini supaya menghormati titah dan teguran Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara.

Yang Dipertua PUM, Datuk Abdul Halim Abdul Kadir berkata, nasihat dan pandangan yang diberikan oleh Raja-Raja negeri terhadap perkembangan dan keadaan politik semasa perlu diberi perhatian.

Abdul Halim berkata, antara teguran yang jelas memperlihatkan kekecewaan raja-raja adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahu pemimpin negeri itu supaya lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya sibuk berebut kuasa.

“Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah juga menzahirkan perkara yang hampir sama di mana sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri tatkala negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Abdul Halim, rakyat sudah bosan dengan gelagat pemimpin politik yang ‘berperang’ untuk mendapatkan kuasa dengan pelbagai cara termasuk ada yang menarik sokongan kepada perdana menteri dan seumpamanya.

“Perlu diingatkan agar setiap tindakan yang dilakukan mestilah selaras dengan undang-undang yang ada.

“Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di Parlimen pada bulan September nanti.

“Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas?

“Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di Parlimen,” katanya lagi.

Tambah beliau, seharusnya para pemimpin parti-parti politik ini memikirkan masalah rakyat sebagai perhatian terutama kes-kes kematian yang tidak mengenal usia termasuklah terhadap golongan muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here