Peruntukan RM75 juta untuk pulihkan kerosakan akibat bencana kepala air – PM

0
16
Perdana Menteri melakukan lawatan kerja di Kedah hari ini susulan kejadian bencana kepala air minggu lalu

YAN – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan sebanyak RM75 juta bagi membaik pulih kerosakan yang berlaku di beberapa kawasan akibat bencana kepala air minggu lalu.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu merangkumi kerja naiktaraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer fasa satu berjumlah RM5 juta dan pembinaan dua jambatan baharu berjumlah RM23 juta.

Selain itu, katanya, peruntukan itu juga disediakan untuk pembinaan Empangan Sabo Fasa 1 berjumlah RM20 juta dan kerja-kerja penambahbaikan dan naiktaraf muka sauk loji rawatan air Gurun dan Tupah berjumlah RM2 juta.

“Kepada keluarga yang terkesan, bantuan wang ihsan akan diberi sebanyak RM500 satu keluarga manakala bagi kes kematian, bantuan khas pengurusan kematian sebanyak RM5,000 seorang melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

“Di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), peruntukan juga disediakan bagi rumah yang terjejas,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri melakukan lawatan kerja ke Kedah susulan bencana kepala air dari Gunung Jerai yang memusnahkan ribuan harta benda dan menyebabkan lima nyawa terkorban.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memperuntukan bantuan bernilai RM12.7 juta bagi membaiki kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemulihan sektor pelancongan desa.

Katanya, bagi kerja membaikpulih kerosakan tanaman padi, infrastruktur bekalan air masyarakat, jalan, longkang dan titi kampung pula, bantuan bernilai RM3 juta disediakan.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memulakan projek pemulihan ini pada September 2021.

“Sehubungan dengan itu, semua pihak terlibat hendaklah bersama-sama menyegerakan pelan pemulihan ini demi kebajikan rakyat Kedah dalam satu Keluarga Malaysia yang besar,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here