PH sepakat tolak tawaran Muhyiddin

0
183
Majlis Presiden PH

CYBERJAYA – Pakatan Harapan (PH) secara sepakat menolak tawaran daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan sokongan supaya kerajaan sedia ada terus berfungsi.

Menurut Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama, tawaran tersebut telah terlewat dan sepatutnya dibuat lebih awal.

“PH mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Tan Sri Mahiaddin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau. Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.

“Sebaliknya, PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19. Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, petang tadi Perdana Menteri membuat satu pengumuman khas dengan mengajak semua parti politik termasuk pembangkang memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan diberikan beberapa tawaran termasuk memberikan jawatan kepada ketua pembangkang yang bersetuju dengan tawaran diberikan.

Dalam pada itu menurut kenyataan itu, perutusan yang dibuat oleh Perdana Menteri menjadi pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat

Katanya, menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan beliau meletakkan jawatan.

“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan pembangkang.

“Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia.

“Lebih dari itu, apabila Tan Sri Mahiaddin berkata “tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” beliau dengan jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here