PM adakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang, redakan suhu politik negara

0
44
Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pemimpin pembangkang di PMO hari ini.

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang.

Ismail Sabri berkata, pertemuan itu bagi merealisasikan titah hasrat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Menjunjung kasih di atas nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

“Saya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang bagi merealisasikan titah hasrat Baginda Tuanku.

“Hadir dalam pertemuan di pejabat saya adalah Ketua Pembangkang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam itu tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik.

“Ia bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” katanya.

Selain itu katanya, persetujuan bersama turut dicapai dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Dalam pada itu katanya, beliau bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here