PM ke-9 tanda bermula kestabilan politik negara -UMNO

0
49
Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan

CYBERJAYA – Pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandakan bermulanya kembali era kestabilan politik, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Menurut beliau, pelantikan itu akan membawa negara mendepani pengurusan dan penyelesaian masalah rakyat.

“Sekalung tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia.

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong. Dalam fasa baharu kerajaan pimpinan UMNO ini, rakyat mendahagakan suatu lembaran yang mampu memberi sinar di hujung terowong bagi mengatasi cabaran ekonomi dan kesihatan yang kian memuncak,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Semalam Naib Presiden Umno itu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ismail Sabri meraih 114 undi menewaskan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya mendapat 105 undi.

“Seluruh rakyat Malaysia apatah lagi warga UMNO dari kepimpinan sehinggalah ke ahli akar umbi bersatu hati membantu dan mendoakan kejayaan Perdana Menteri.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dalam mengharungi segala cabaran di depan, demi Malaysia yang kembali gemilang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here