PM pelawa pemimpin pembangkang sertai MPN

0
90
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Tawaran kerjasama rentas parti itu menurut beliau bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya kepimpinan baharu negara melupakan segala perbezaan demi kesejahteraan rakyat.

“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

“Kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, tawaran itu juga selari dengan usaha untuk menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara keluar dari kemelut kesihatan dan ekonomi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberi tumpuan kepada dua objektif utama terhadap pelan jangka pendek pemulihan semula ekonomi.

Katanya, pertama adalah untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Fokus usaha kita ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik,” katanya.

Sementara itu, semua strategi yang telah dirangka oleh kerajaan sebelum ini untuk melawan dan membendung Covid-19 akan diteruskan dan ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar kesihatan awam.

Menurut beliau, kerajaan akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

“Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here