PM seru rakyat kendong semangat perjuangan wira negara

0
8

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyeru rakyat negara ini tidak melupakan perjuangan pahlawan terdahulu yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

Beliau dalam catatan di Facebook rasminya berkata, perjuangan demi mempertahankan negara itu harus dikendong oleh seluruh rakyat dengan hati yang luhur, ikhlas dan berjiwa besar dalam semangat sebuah Keluarga Malaysia.

“Di bumi berdaulat ini, terkandung anak-anak Malaysia yang tinggi nilai jati diri dan taat setia untuk ibu pertiwi. Selamat Hari Kebangsaan 2021.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!,” katanya dalam ucapan Selamat Hari Kebangsaan 2021 hari ini.

Ismail Sabri menyeru rakyat menghayati tema sambutan iaitu Malaysia Prihatin serta memupuk sifat keprihatinan dalam diri.

“Bila kita prihatin, kita empati dengan kesusahan orang lain. Bila kita prihatin, kita jaga keselamatan dan kesihatan komuniti kita. Bila kita prihatin, kita bersatu hati memerangi musuh negara.

“Kerana itu, saya menyeru agar kita dalami tema ini dan pupuk sifat prihatin dalam diri kita. Saya pasti, dengan keprihatinan kita, Malaysia pasti dapat memutuskan rantaian Covid-19 dan terus kekal aman makmur,” katanya.

Ismail Sabri yang sedang menjalani kuarantin kendiri menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya secara maya sebagai pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here