PN letak syarat, mereka yang ada kes mahkamah tidak boleh sertai Kabinet

0
466
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) meletakkan syarat kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya hanya melantik mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah sebagai ahli Kabinet sekiranya beliau diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, semua 50 ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN, iaitu 31 ahli Dewan Rakyat Bersatu, 18 Pas dan 1 STAR telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara hari ini dengan menyatakan kepada Ahli Parlimen Bera itu selaku Perdana Menteri.

Pada masa sama, katanya, empat ahli Dewan Rakyat bebas Pro-PN juga telah menyatakan sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu itu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, selaku Pengerusi PN, beliau akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU Ke-15 nanti.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here