
CYBREJAYA – Pelaksanaan Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengawal penularan Covid-19 dalam sektor industri melibatkan kira-kira 1,500 kilang di negeri ini berjaya mengurangkan kira-kira 50 peratus kluster tempat kerja.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keberkesanan inisiatif sistem saringan tersusun untuk amalan di kilang dan tempat kerja yang dilaksanakan sejak 29 Januari lalu itu terbukti
berkesan dalam mengekang penularan Covid-19.
“Syarikat berperanan aktif melaksanakan inisiatif saringan ini dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, inisiatif oleh Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) itu dapat membendung kes positif bagi membolehkan pengilangan dan pejabat terus beroperasi.
Menerusi sistem, itu, majikan yang mendaftar hanya perlu menubuhkan jawatankuasa untuk mengenal pasti lokasi dan aktiviti berisiko tinggi.
Amirudin berkata, selain inisiatif POIS, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Vaksin Selangor (SelVax) industri yang merupakan program penawaran vaksin Covid-19 kepada syarikat berminat bagi memastikan imuniti kelompok dalam kalangan pekerja.
“Majikan akan membeli dos vaksin untuk diberikan kepada pekerja mereka dengan syarat tidak mengenakan sebarang kos,” katanya.
Beliau memberitahu, kedua-dua program utama itu adalah khusus untuk memanfaatkan industri ekonomi di Selangor.
“Ini sebahagian daripada usaha di bawah bidang kuasa kerajaan negeri bagi meminimumkan penularan Covid-19 di tempat kerja,” katanya.