Polis minta saksi dan mangsa tampil salurkan maklumat

0
1400
Pendakwah bebas, Ebit Lew selesai memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan berkait dakwaan gangguan seksual.

CYBERJAYA – Saksi dan mangsa yang ada kaitan dengan dakwaan gangguan seksual sehingga pendakwah terkenal, Ebit Lew dipanggil memberi keterangan diminta tampil membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kertas siasatan berhubung pertuduhan tersebut telah dibuka susulan terdapat aduan yang diterima pihaknya.

“Ya, kita ada terima laporan polis tetapi kita tidak boleh dedahkan berapa banyak laporan diterima dan siapa pengadu.

“Perkara ini masih dalam siasatan dan kita sudah memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Abd. Jalil, dakwaan tersebut disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Polis turut membuka siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda hingga RM100 jika sabit kesalahan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 14 adalah kesalahan menggunakan perkataan-perkataan kurang sopan, mengugut, aib atau menghina dengan cara menampal atau mempamerkan kertas bertulis dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Sementara itu, Abd. Jalil berkata, bagi kes berkenaan, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.

Sebelum ini, Ebit hadir ke Bukit Aman dan memberi keterangan sehingga lima jam bermula pukul 9.30 pagi hingga 2 petang.

Selain itu, polis juga mengeledah rumah Ebit di Shah Alam dipercayai bagi barang bukti bagi siasatan dakwaan kes tersebut.

Penceramah ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan menyifatkan tuduhan yang dikenakan ke atasnya sebagai kejam dan fitnah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here