Polis siasat Dr Mahathir

0
123
Dr, Mahathir disiasat berikutan kehadiran beliau pada demonstrasi Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, minggu lepas.

CYBERJAYA – Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sedang disiasat di bawah dua akta.

Menurut peguam kepada Dr. Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali, akta itu adalah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Utama Mukhriz telah memberi kerjasama sepenuhnya dan menyatakan akan menjawab segala pertuduhan apabila hadir di mahkamah,” kata peguam tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, seramai empat pegawai Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman telah hadir di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya bagi merakamkan keterangan kedua-dua pemimpin Pejuang itu.

“Kehadiran pegawai-pegawai polis tersebut adalah berkaitan satu siasatan mengenai perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos 2021,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan yang sama.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here