Politik bukan kerjaya – Coach Fadzil

0
23
Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Golongan pemimpin di negara itu perlu mengubah persepsi penglibatan dalam bidang politik sebagai tanggungjawab dan bukannya sebagai satu kerjaya.

Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, tanggapan seumpama itu adalah sesuatu yang serong malah mampu meruntuhkan moral dan kepemimpinan selain menjerumuskan mereka ke kancah rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru itu katanya, seseorang pemimpin tidak sepatutnya memasang ‘niat’ untuk menjadikan penglibatan mereka di medan politik sebagai kerjaya kerana secara tidak langsung ia berkehendakkan ‘pulangan’.

“Kita selalu sebut, kerjaya politik… Ini tidak tepat malah menanam stigma bahawa penglibatan seseorang dalam politik adalah untuk mencari duit.

“Sebab dalam kerjaya, seseorang biasanya mencari dua perkara iaitu kepuasan yang boleh dikatakan sebagai usaha untuk membantu orang lain dan satu lagi adalah untuk mencari duit,” katanya dalam sesi Live Facebook hari ini.

Mohd Fadzil berkata, persepsi politik sebagai kerjaya juga akan membawa seseorang cenderung untuk mencari jalan memaksimumkan peluang meraih jawatan dan menambah pendapatan.

“Politik tidak seharusnya menjadi satu kerjaya tetapi satu tanggungjawab yang tujuan utamanya untuk menggunakan peluang berkhidmat kepada Allah.

“Hanya dengan cara itu sahaja kepentingan umat Islam akan terjaga dan hak orang bukan Islam pun akan terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, amalan politik yang baik sepatutnya membawa kemakmuran kepada sesebuah negara dan masyarakatnya seperti yang dipraktikkan di beberapa negara maju seperti Singapura, New Zealand, Australia dan Kanada.

“Sebab itu kalau kita lihat di negara-negara maju, ahli politik dibayar gaji yang tinggi sehingga berjuta dolar untuk mengelak mereka daripada amalan rasuah dan paling penting mengekalkan profesionalisme mereka sebagai pemimpin,” katanya.

Sehubungan itu Mohd. Fadzil mengharapkan politik negara ini yang kini berdepan dengan krisis tidak berkesudahan dapat dijajarkan semula demi agama dan negara.

Sementara itu, beliau menolak dakwaan kecenderungan beliau kepada parti-parti politik tertentu sebaliknya mengaku sekadar memberi pendapat secara jujur dan tidak berpihak.

“Ada yang kata saya secara peribadi dan mewakili kumpulan perniagaan Malakat Eco menyokong dan membenci pemimpin-pemimpin tertentu. Itu tidak benar.

“Teguran saya tidak pernah berkepentingan politik kerana saya ambil pendekatan teguran perlu disuarakan apabila ada pemimpin tersasar dari jalan yang betul,” katanya.

Dalam siaran langsung itu juga, Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil memperjelaskan kekeliruan orang ramai yang mengaitkan beliau dengan berita dipaparkan di portal berita Malakat Tribune.

“Saya ingin jelaskan bahawa Malakat Tribune adalah sebuah portal berita .. yang melaporkan berita..Ia tidak boleh melapor dari sebelah pihak sahaja, tetapi semua perkara yang berlaku dan mempunyai nilai berita selagi tidak bercanggah dengan agama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here