
TAIPING – Seorang remaja perempuan dikompaun polis sebanyak RM5,000 selepas menanggalkan gelang merah jambu untuk keluar bersiar-siar.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tindakan kompaun dikeluarkan selepas video remaja berusia 17 tahun itu tular di media sosial sejak semalam.
Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di Kamunting di sini.
“Selepas mengenalpasti video itu, polis berjaya mengesan lokasi remaja terbabit yang didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM).
“Remaja terbabit menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi. Difahamkan ketika kejadian itu, dia dikatakan hanya singgah di rumah rakannya di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam tular di TikTok rakaman video berdurasi 31 saat yang memaparkan seorang remaja yang memakai topi keledar menanggalkan gelang merah jambu di sebuah kediaman untuk bersiar-siar.
Sementara itu, Osman berkata, kompaun itu dikeluarkan kerana remaja itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Sehubungan itu, katanya, polis menasihatkan masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak Covid-19.
Katanya, mana-mana individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.-MT