Program vaksinasi di bawah KKM sepenuhnya – PM

0
51
ISMAIL SABRI

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) yang kini diterajui oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengendalikan sepenuhnya program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan Covid-19.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Kata Ismail Sabri kepada Bernama, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang kini diterajui Datuk Seri Dr. Adham Baba akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin wabak berkenaan.

“Jika dahulu ada dua kementerian berkaitan (Covid-19) iaitu KKM dan MOSTI selain ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh dua menteri, dua Ketua Setiausaha (KSU) dan dua Ketua Pengarah… agak sukar kalau masih dua kerana mungkin berbeza daripada pandangan dan sebagainya,” kata Ismail Sabri pada sidang akhbar selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor di Bera, Pahang.

“MOSTI pula akan fokus mengeluarkan vaksin sendiri kerana jika Thailand boleh mengumumkan akan keluarkan vaksin sendiri, maka Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran kita seperti penyakit denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.

“Sebab itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar kerana apabila kes bertambah dan kita masih bergantung (bekalan vaksin) dari luar, itu akan menyebabkan bekalan agak terjejas. Jika kita boleh keluarkan vaksin sendiri keadaan akan berbeza,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here