PRU-15 selewat-lewatnya hujung Julai 2022, kini tiada Ahli Parlimen lain dapat buktikan majoriti

0
117
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA- Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun hadapan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Bagaimanapun kata Muhyiddin, perkara itu masih bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai. 

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat aku janji bahawa PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,” katanya dalam ucapan khas hari ini.

Selain itu tegasnya, melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah pilihan paling mudah untuk beliau menyelesaikan kemelut politik ketika ini.

Selepas itu, katanya, terserah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Perdana Menteri baharu, jika beliau memilih keputusan melepaskan jawatannya itu.

Bagaimanapun, katanya, sehingga saat ini, tiada seorang pun Ahli Parlimen lain mampu membuktikan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di- Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. 

“Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku. Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi Perdana Menteri.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, saya hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri. Ini bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh,” katanya.

Muhyiddin turut mempersoalkan apa akan berlaku kepada masa depan negara jika krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera, selain pentadbiran mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual.

Ini kerana, katanya, tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting dan jika semua perancangan kerajaan dapat dilakansakan seperti dijadualkan, negara akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here