Rakan sekerja temukan petugas KKM meninggal dunia di pusat kuarantin

0
502

KUCHING – Pihak polis mengesahkan penemuan mayat seorang petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di dalam bilik rehat di sebuah hotel yang dijadikan sebagai pusat kuarantin pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah, mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Nizarman Hisham Mudda dipercayai meninggal dunia dalam tempoh tujuh jam sebelum disedari rakan sekerjanya.

“Kami menerima maklumat awal sekitar jam 7.07 malam berkenaan mangsa yang tidak sedarkan diri dalam bilik rehat di tingkat dua.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan yang turut hadir ke lokasi,” kata Ahsmon kepada portal Astro Awani, hari ini.

Kata Ahsmon, mangsa merupakan seorang pembantu perubatan berusia 28 tahun yang baharu ditugaskan di pusat kuarantin tersebut 2 Ogos lalu dan berasal dari Mukah.

Beliau menjelaskan, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan tiada sebarang kesan pecah masuk atau kehilangan barangan milik mangsa.

Tambah Ahsmon, pemeriksaan tubuh badan juga mendapati tiada sebarang kecederaan dialami mangsa dan siasatan lanjut masih berjalan.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemukan.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here