
CYBERJAYA – Pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim menjemput orang ramai untuk menyertai sesi penerangan Dana Amanah Brainy Bunch yang akan diadakan pada Jumaat ini.
Mohd. Fadzil dalam Live Facebooknya hari ini berkata, taklimat itu akan menceritakan secara terperinci pelan pelaburan dana unit trust yang akan dilancarkan tidak lama lagi dan ditawarkan kepada orang awam pada harga serendah RM5,000 seunit.
“Kami mengalu-alukan orang ramai terutama ibu bapa kepada pelajar Brainy Bunch dan alumninya, ahli kelab Malakat dan ahli Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) dan sesiapa sahaja untuk mendapatkan maklumat ini.
“Ini adalah peluang yang anda semua tidak mahu terlepas kerana peluang pelaburan seperti ini biasanya tidak dibuka kepada orang awam kecuali mereka yang betul-betul kaya (harga seunit yang tinggi).
“Mereka yang berminat boleh tinggalkan komen (di FB Live Fadzil Hashim) dan akan dihubungi dan diberikan borang secara dalam talian. Boleh daftar dan dengar dahulu penerangan mengenai pelaburan ini, tidak semestinya anda sertai,” katanya.
Mohd Fadzli berkata, melalui pelancaran dana amanah institusi pendidikan montessori Islam itu, beliau bercadang menawarkan 30 peratus daripada nilai pelaburan sebanyak RM300 juta yang akan dikumpul kepada awam.
Katanya, melalui tawaran harga seunit serendah RM5,000 itu para pelabur berpeluang menikmati pulangan keuntungan sehingga 10 kali ganda.
“Jika anda beli saham RM5,000 anda akan dapat pulangan RM50,000. Kalau RM50,000 jadi RM500,000 dan kalau RM100,000 akan berganda jadi RM1 juta,” katanya.
Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pelancaran dana amanah itu merupakan sebahagian daripada wawasan 30 tahun dan fasa pengembangan Brainy Bunch untuk menembusi pasaran global.
Beliau sebelum ini mengumumkan rancangan pembukaan beberapa cawangan di benua Amerika, Australia dan Eropah dalam fasa pengembangan hypergrowth Brainy Bunch selepas pembukaan cawangan di Brunei dan yang sedia ada di Singapura, Indonesia dan Gaza.

Katanya, salah satu daripada sasaran melalui pelaburan itu juga adalah untuk disenaraikan di Nasdaq selepas menjadi syarikat IPO (Saham Terbitan Awam) di negara ini.
“Hujung tahun ini saya akan ke Amerika Syarikat untuk pembukaan cawangan pertama sekolah Brainy Bunch di sana.
“Sasaran kita untuk jangka masa panjang adalah disenaraikan di Nasdaq untuk mendapatkan penilaian paling tinggi supaya pelabur kita dapat pulangan paling tinggi.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk bina jenama pendidikan Brainy Bunch ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Usaha itu juga menurut beliau sebahagian daripada usaha pihaknya untuk keluar daripada sistem riba melalui pinjaman bank yang dianggarkan sebanyak RM10 juta setiap tahun.