ROS buat U-turn, benarkan UMNO tangguh pemilihan parti

0
146

UMNO

CYBERJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan keputusannya sebelum ini supaya UMNO mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya hujung tahun ini selepas pemegang jawatan Majlis Tertinggi (MT) bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan surat yang diterimanya semalam daripada Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim memaklumkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 20121/2023 dibuat secara teratur.

Katanya, ia selepas beliau dan peguam UMNO sebelum ini menyerahkan keterangan dan dokumen tambahan kepada ROS bertarikh 9, 11 dan 18 Ogos lalu.

“Pada lewat petang tadi, saya menerima surat daripada Jasri dengan rujukan surat PPM/WKL 251/88 JLD. 11 (1).

“Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang saya dan peguam UMNO berikan pada 9, 11 dan 18 Ogos lalu serta beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 dibuat secara teratur.

“Jadi, pemilihan jawatan UMNO untuk MKT, bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kepada ROS iaitu sebelum 29 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Datuk Seri Ahmad Maslan

Bagaimanapun, Ahmad berkata, mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung parti tanpa pemilihan dengan kehadiran satu perempat korum masih perlu diadakan tahun ini dan tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.

“Terima kasih kepada Ketua Pengarah ROS dan pegawainya yang memberi kerjasama baik sepanjang semakan serta pertemuan kami,” katanya.

Pada 6 Ogos lalu, ROS menetapkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah dan parti itu perlu mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini berikutan pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Ahmad dalam satu kenyataan media pada 29 Jun lalu berkata, pihaknya sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah ROS berhubung hal itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here