Sah 114 sokongan, terpulang kepada kebijaksanaan Agong soal tarikh angkat sumpah

0
190
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada petuhas media selepas selesai sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

KUALA LUMPUR – Dengan sokongan sebanyak 114 Ahli Parlimen, kedudukan majoriti dimiliki Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, soal tarikh angkat sumpah jawatan Perdana Menteri, ia terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu katanya, pada hari ini, sebanyak 114 Ahli Parlimen ditemuduga seorang demi seorang secara ringkas oleh Seri Paduka Baginda.

“Setiap ahli Parlimen menyatakan nama dan dari kawasan mana, kemudian nyatakan sokongan kepada Ismail Sabri dibuat tanpa paksaan dan dengan sukarela.

“Dengan jumlah 114 ahli Parlimen ini, kita maklum dengan kedudukan majoriti dimiliki Ismail Sabri,” katanya kepada pemberita selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Menurut Ahmad, pengalaman ditemuduga Agong bagi mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri adalah penting bagi semua Ahli Parlimen terbabit.

“Saya fikir, masa ditemuduga adalah satu hingga dua minit sahaja. Mudah-mudahan selepas ini ada kerajaan yang terus dapat membela rakyat, menangani isu Covid-19.

“Apabila keadaan stabil dan imuniti kelompok dicapai, kita kembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here