
MUAR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk sebarang kemungkinan pada sidang Parlimen yang akan diadakan pada bulan depan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu yakin beliau masih mempunyai bilangan majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya.
“Saya yakin walaupun sehingga hari ini ada pengumuman dibuat oleh pihak tertentu kononnya tidak menyokong saya, mungkin di hadapan begitu, di belakang kita tidak tahu. Ini masalah politik.
“Sebab itu Yang di-Pertuan Agong pun perkenan. Untuk menyelesaikan perkara itu, kita bawa ke Parlimen. Dan saya sedia hadapi apa juga kemungkinan, yang mana, saya tidak takut ataupun bimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada penghulu-penghulu Mukim dan keluarga yang sedang menjalani kuarantin di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, di Muar hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, keadaan semasa Covid-19 negara perlu diambil kira dan sebarang pertukaran dalam kerajaan dibimbangi hanya akan menjejaskan proses memulihkan pandemik berkenaan.
“Harus difikirkan situasi dan keadaan semasa ini. Adakah negara boleh menghadapi masalah (kemelut politik) ini dengan apa-apa rombakan, pertukaran yang boleh menjejaskan Pelan Pemulihan Negara dan langkah-langkah menangani Covid-19?
“Sebab itu saya serahkan kepada budi bicara dan pertimbangan Ahli Parlimen. Terpulang kepada mereka untuk memikirkan apa yang sewajarnya mereka lakukan dalam tempoh ini,” tambahnya.