Sebanyak 500 golongan terjejas terima bakul makanan sumbangan LHDN

0
212
Pengarah LHDN Selangor, Kamarudin Hashim menyerahkan bantuan bakul makanan kepada wakil Rela hari ini

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini meneruskan misi membantu golongan memerlukan dengan mengedarkan sebanyak 500 bakul makanan di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, menerusi Program CSR Hasil Prihatin itu pihaknya turut bekerjasama dengan penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagihkan bantuan berkenaan.

“Program tersebut diteruskan pada hari ini dengan memberi fokus kepada kelangsungan bekalan makanan dalam kalangan rakyat Malaysia yang benar-benar memerlukan. Kali ini giliran penduduk di Bangsar Baru, Kuala Lumpur serta daerah Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat, Selangor untuk menerima bantuan dengan kerjasama NGO serta penduduk setempat.

Program CSR Hasil Prihatin di Bangsar Baru

“Di Bangsar Baru, penyerahan bakul makanan berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Jalan Ara oleh Pengarah LHDN Kuala Lumpur, Mohamad Zain Mohamad Said.

“Sebanyak 200 bakul makanan telah diagihkan melalui wakil-wakil penduduk untuk diserahkan kepada penerima yang telah dikenal pasti terkesan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 300 bakul makanan lagi telah diagihkan di kawasan daerah Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Katanya, bantuan berkenaan diserahkan oleh Pengarah LHDN Selangor, Kamarudin Hashim kepada wakil penduduk di kawasan berkenaan.

“LHDN sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelaksanaan inisiatif seumpama ini bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 terjaga.

“Sehingga kini sebanyak 4,555 bakul makanan telah disumbangkan di bawah Program CSR Hasil Prihatin ini dan ia akan diteruskan secara berperingkat di setiap negeri dalam masa terdekat,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here