Segerakan usul undi percaya terhadap PM di Dewan Rakyat

0
54

Tengku Razaleigh Hamzah

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan usul undi percaya di Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu disegerakan.

Memetik laporan Sinar Harian, Tengku Razaleigh berkata, tindakan itu perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan isu keabsahan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan daripada berulang.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz bahawa undi percaya bukan untuk menjadikan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas lantikan Perdana Menteri itu sah.

“Perkara itu bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda bahawa Perdana Menteri dilantik hendaklah segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Sekiranya pengundian berlaku, (undi) percaya atau tidak percaya (dalam tempoh) dua hingga tiga minggu selepas angkat sumpah.

“Dalam keadaan di mana sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan sudah berubah dan telah mengalami kekalahan, jelas sekali Perdana Menteri dan kabinet itu mesti berundur kerana sudah ditolak oleh Dewan Rakyat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Selain itu katanya, undi di Parlimen adalah bagi memastikan keabsahan dan Perdana Menteri juga dapat ‘move on’ tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak lagi selepas itu.

Shamrahayu menerusi hantaran di Facebooknya sebelum ini berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan sebarang syarat bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu diuji di Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here