
JALALABAD – Sekurang-kurangnya dua orang penunjuk perasaan maut ketika melakukan protes anti Taliban di wilayah Nangarhar, Jalalabad dan Khost, Afghanistan hari ini.
Tunjuk perasaan yang disertai ribuan penduduk itu dibuat susulan ketidakpuasan hati mereka apabila bendera negara tersebut ditukar sebaik sahaja Taliban menguasai Afghanistan.
Bagaimanapun tunjuk perasaan itu berakhir dengan pertumpahan darah apabila Taliban didakwa melepaskan tembakan rambang terhadap peserta terlibat.
Dalam pada itu, agensi media tempatan, Pajhwork Afghan News memuatnaik beberapa video secara atas talian yang menunjukkan penunjuk perasaan berjalan sambil mengibarkan bendera Afghanistan di sepanjang jalan di Jalalabad sebelum tembakan itu dilepaskan.
Beberapa orang penunjuk perasaan juga dilihat membuang bendera Taliban yang digantung di sekitar bandar tersebut.

Kelmarin Taliban mengumumkan berjaya menawan semula Afghanistan selepas menguasai Kabul dan Istana Presiden.
Sejurus selepas pengumuman itu, Taliban turut menukar bendera Afghanistan kepada bendera putih dengan kalimah “La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah”.-MT