Selangor tambah peruntukan khairat tampung peningkatan kes kematian

0
29
Amirudin Shari

CYBERJAYA – Kerajaan negeri peruntukan tambahan RM1 juta bagi khairat kematian untuk rakyat Selangor yang meninggal akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, melalui peruntukan tambahan kepada Pakej Kita Selangor 2.0 itu, kerajaan memperuntukkan pemberian RM1,000 kepada rakyat negeri ini yang kehilangan ahli keluarga akibat wabak tersebut.

Sebelum ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi tujuan yang sama semasa pengumuman inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0.

“Tambahan peruntukan ini diberikan berikutan peningkatan kadar kematian rakyat negeri ini akibat pandemik Covid-19.

“Peruntukan sebelum ini dapat memanfaatkan 1,500 keluarga atau waris mangsa Covid-19 dan dengan tambahan RM1 juta ini, sekitar 1,000 lagi akan menerima manfaat ini,” katanya pada sidang media yang diadakan secara atas talian hari ini.

Sebelum ini, pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor menetapkan beberapa syarat bagi permohonan khairat kematian itu.

Antara syarat permohonan adalah warganegara; pemohon (waris terdekat) dan individu yang meninggal dunia (si mati) adalah anak kelahiran dan menetap di Selangor atau bermastautin di negeri ini melebihi 10 tahun.

Individu terbabit disahkan meninggal dunia kerana Covid-19 oleh hospital atau klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian.

Bantuan itu juga hanya membabitkan mereka yang meninggal dunia di Selangor pada tahun ini dan terhad kepada satu permohonan bagi satu keluarga.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menyediakan 60,000 kit ujian saringan kendiri (saliva test kits) secara percuma kepada rakyat negeri ini yang disahkan positif Covid-19.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan menerusi 56 Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri mulai September ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here