
YAN – Tiga kakitangan Jerai Hill Resort terselamat manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai, petang ini.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohamad Syahruzi Muhamad, 40.
Fenomena kepala air besar itu merosakkan 10 buah rumah yang terletak berhampiran aliran sungai, permukaan jalan raya, jambatan gantung dan menyebabkan banjir di kawasan bandar Yan.
Kejadian juga menyebabkan banjir kilat di beberapa taman perumahan dan merosakkan kenderaan penduduk.
Fenomena ini dipercayai berlaku selepas hujan turun dari pagi tadi mula lebat pada petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.38 petang.
Katanya, mangsa yang cedera adalah Muhamad Muslim Shaari, 36, manakala dua lagi kakitangan, Muhamad Soleh Abdul Halim, 30-an, dan Muhammad Siraj Munir Muhamad Abdul Malek, 33, tidak cedera.
“Setakat ini, masih terdapat seorang mangsa yang masih gagal dikesan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan kita sedang menunggu Unit STORM dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk bantuan,” katanya
Dalam video yang tular lewat petang ini, kepala air yang turun dari Gunung Jerai membadai Pusat Peranginan Seri Perigi sehingga merosakkan kemudahan di kawasan itu.


