Sesi persekolahan dibuka semula pada 3 Oktober ini, negeri fasa 1 PPN tidak terlibat

0
72
MOHD. RADZI MD. JIDIN

CYBERJAYA – Sesi pembukaan semula sekolah akan dilewatkan kepada 3 Oktober ini berbanding tarikh sasaran awal iaitu 1 September ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin berkata, pembukaan itu akan dibuat secara berperingkat dengan kelas peperiksaan diberi keutamaan.

“Perincian lanjut mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat ini.

“Namun berdasar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak ada sekolah yang akan dibuka di negeri fasa satu PPN.

“Saya amat berharap penjelasan ini dapat meredakan kebimbangan ibu bapa terhadap pembukaan semula sekolah,” katanya dalam ucapan yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Pada 17 Julai lalu, Radzi memaklumkan bahawa sesi sekolah secara bersemuka akan dibuka pada 1 September ini secara berperingkat.

Bagaimanapun pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi daripada ibu bapa yang bimbang sekiranya lebih banyak kes jangkitan baharu Covid-19 menjangkiti murid sekolah berikutan kes harian yang melebihi 20,000 kes setiap hari.

Dalam pada itu, katanya, untuk negeri fasa dua dan tiga PPN ia hanya boleh dibuka untuk murid yang mengambil peperiksaan sahaja.

Gambar Arkeb

Bagaimanapun, pembukaan semula sekolah di negeri fasa dua dan tiga PPN adalah berdasarkan penilaian risiko dengan perbincangan bersama KPM.

Menyentuh mengenai kadar pemberian vaksinasi terhadap guru sekolah, katanya, sehingga hari ini, sebanyak 92.4 peratus guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Katanya, bagi kakitangan sokongan iaitu pengawal keselamatan, pekerja kebersihan, pengendali kantin sekolah dan pemandu bas pula sebanyak 72.4 peratus telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

Beliau berkata, kadar tersebut meningkat lebih tinggi berbanding ketika pengumuman yang dibuat pada Julai lalu.

Sementara itu, Radzi turut memberikan jaminan bahawa pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai tahap keselamatan murid sekolah.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga mahukan mereka dapat kembali belajar secara bersemuka dan bermain dengan kawan-kawan mereka.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here