Shafie Apdal dakwa dirinya dan Anwar ada 105 sokongan Ahli Parlimen

0
275
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-9.

CYBERJAYA – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui dirinya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai masing-masing 105 sokongan ahli Parlimen.

Menurut Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu, beliau dan Anwar ketika ini perlu mendapatkan sokongan yang lebih untuk membentuk kerajaan.

“Sebenarnya kita ada permuafakatan di antara rakan kita pihak pembangkang. Tadi, saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang secara ringkas.

“Lim Guan Eng dan kawan-kawan lain termasuk Mohamad Sabu dan Tun Dr Mahathir Mohamad pun turut maklum perkara ini.

“Kita putuskan ada dua calon, pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim, keduanya saya,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani malam ini.

Menurut Mohd Shafie, beliau dan Anwar  akur jika salah seorang daripada mereka mendapat sokongan yang lebih sekali gus mampu membentuk kerajaan.

“Ini berasaskan 105 sokongan yang ada, Anwar ada 105, saya ada 105 sokongan. Tetapi, dalam 105 sokongan ini, siapa di antara kita dapat meraih undi menambah kekuatan itu untuk menjadi calon pilihan.

“Sekiranya, Anwar dapat membawa jumlah besar, saya kena akur. Saya nyatakan jangan bimbang, kita kumpulan pembangkang diberikan oleh rakyat untuk memerintah negara ini.

“Kita hilang kuasa termasuk di Negeri Sabah, kita ada dua pertiga sehingga tercetus Pilihan Raya Negeri Sabah, kalau mereka tidak beli ADUN-ADUN,” katanya lagi.

Dalam pada itu katanya,  jika beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen , rakan-rakan pembangkang akan menerima dengan hati terbuka.

Tambahnya, sekiranya majoriti itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah namun ia juga perlu ditentukan keabsahannya di Dewan Rakyat sepertimana dititahkan oleh Baginda dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin parti di Istana Negara hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here