Siapa dan pemimpin parti mana yang akan menjadi PM, adakah keputusan selepas 4 petang ini?

0
63
Antara calon yang disebut-sebut bakal menjawat jawatan Perdana Menteri

CYBERJAYA- Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu dijangka diadakan pada Jumaat ini di Istana Negara.

Difahamkan, mesyuarat tersebut akan membincangkan mengenai pemilihan calon Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti.

Pada mesyuarat itu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka mendedahkan calon Perdana Menteri daripada pelbagai parti.

Namun, siapa dan pemimpin parti mana yang akan menjadi Perdana Menteri ke-9 juga berkemungkinan akan terjawap hari ini.

Ini kerana semua Ahli Parlimen mempunyai masa sehingga pukul 4 petang ini untuk mengemukakan surat akuan kepada Istana Negara.

Perkara berkenaan dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menerusi notis yang dikeluarkan semalam.

Jelasnya, selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budi bicara perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang dalam hemat Seri Paduka mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Azhar Azizan berkata, surat akuan bersumpah itu tidak dibenarkan dihantar melalui serahan tangan untuk mengelakkan penularan Covid-19 memandangkan Istana Negara masih berada dalam kawasan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Semalam, barisan pemimpin parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi proses menentukan calon Perdana Menteri baharu seterusnya membentuk kerajaan.

Sesi itu bermula 2 petang dan selesai kira-kira dua jam kemudian.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas kehilangan majoriti apabila 15 Ahli Parlimen dari UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpinnya.

Antara pemimpin politik yang dicanangkan sebagai bakal calon Perdana Menteri ialah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Untuk menjadi Perdana Menteri, mereka sekurang-kurangnya memerlukan sokongan majoriti mudah 111 daripada Ahli Parlimen bagi menubuhkan kerajaan baharu. 

Ketika ini Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi kerana dua kerusi lagi masih kosong berikutan kematian penyandangnya.

Namun ketika ini, setiap blok parti politik dipercayai masih berdepan kebuntuan kerana tiada satu pun mempunyai majoriti itu melainkan mereka berkompromi untuk mengukuhkan kedudukan dan membentuk gabungan baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here