Sidang Parlimen berlangsung seperti dijadualkan pada September

0
22
Parlimen Malaysia

CYBERJAYA – Persidangan dan Mesyuarat Keempat Parlimen Ke-14 akan berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan iaitu bermula pada 6 September depan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, setakat ini tiada perubahan tarikh persidangan dan ia akan berlangsung seperti biasa.

“Setakat ini tiada notis perubahan dan tiada notis baharu dikeluarkan. Jika ada perubahan dari Ketua Majlis, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan pemakluman,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat disiarkan di portal rasmi Parlimen, Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 akan berlangsung bermula 6 hingga 30 September ini.

Sidang Dewan Rakyat yang membuka tirainya bulan depan, bakal menyaksikan perubahan Ketua Majlis selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu lalu.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil pada pukul 2.30 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here