Siti Sarah prihatin kepada isu Palestin

0
46
Nadir Al-Nuri bergambar di depan poster penyertaan ibadah korban yang disertai oleh Allahyarhamah Siti Sarah di Palestin.

CYBERJAYA – Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin merupakan individu yang cukup prihatin terhadap isu Palestin dan kerap bertanya khabar mengenai umat Islam di negara itu.

Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman melalui Facebooknya selepas mendengar berita pemergian artis popular itu hari ini

Nadir Al-Nuri berkata, beliau terkejut dan sebak dengan berita yang dikongsikan Shuib Sepahtu di laman Instagramnya mengenai pemergian isterinya, Siti Sarah.

Menurut Nadir, beliau baru sahaja berhubung dengan Siti Sarah, 36, sebelum Hari Raya Aidiladha yang lalu untuk menyertai program korban yang dianjurkan oleh CGM.

“Masa tu saya terkejut bila beliau maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja, seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir.

“Selepas itu beliau kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.

Nadir berkata, kesanggupan Siti Sarah untuk memberi sumbangan kepada pihaknya yang berada jauh di bumi Palestin itu seolah-olah Allahyarmah sedang mengejar bekalan untuk akhirat.

“Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada’ akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-fatihah,” tulisnya lagi.

Siti Sarah Raissuddin, 36, menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Menurut sumber, jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak pada pukul 12 tengahari ini.

Siti Sarah sekeluarga disahkan positif COVID-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak itu. Dia kemudian ‘ditidurkan’ untuk proses pembedahan melahirkan anak dalam kandungan yang berusia tujuh bulan.

Pasangan itu berkahwin pada 2011 dan memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6

Petang Rabu lalu, Siti Sarah terpaksa dikejarkan ke HUKM berikutan tahap oksigen yang semakin menurun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here