SSR berjaya kumpul RM92,800 dalam masa sehari untuk bayar kompaun peserta nyalaan lilin

0
1487
Peserta nyalaan lilin berkumpul di Dataran Merdeka baru-baru ini

CYBERJAYA- Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berjaya mengumpulkan RM92,800 untuk bantuan guaman dan kompaun 31 peserta nyalaan lilin yang ditahan di Dataran Merdeka.

SSR dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyumbang kepada tabung yang ditubuhkan itu.

“Kami amat terharu dengan sokongan yang diberikan di mana kami mendapat sumbangan sebanyak RM 92,800 di dalam masa yang cukup singkat iaitu hanya sehari.

“Sumbangan ini melibatkan transaksi oleh 668 orang yang melibatkan jumlah purata sebanyak RM139, dan ramai juga yang turut menyumbang dengan nilai RM10 dan RM20. 

“Ini sekali gus menunjukkan bahawa tuntutan #Lawan didukung oleh setiap lapisan masyarakat di dalam usaha bersama menggerakkan proses pendemokrasian di Malaysia dan menjamin kelangsungan kehidupan rakyat biasa,” tambah kumpulan itu.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 31 ahli SSR terdiri daripada 17 lelaki dan 14 wanita dikompaun sebanyak RM62,000 selepas didapati berhimpun di Dataran Merdeka.

Selain itu kata SSR, laporan yang lebih terperinci perbelanjaan untuk himpunan #Lawan dan siri protes yang lain akan dikemukakan kepada umum dalam masa terdekat. 

“Kepercayaan rakyat kepada gerakan #Lawan akan kami peluk erat dalam setiap gerak kerja kami.

“Sekretariat dengan ini menutup kempen tabung bantuan guaman dan kompaun #Lawan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here