Sukarelawan positif Covid-19 di Yan adalah palsu

0
12
Dr. Othman Warijo

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Kedah menafikan mesej tular mendakwa terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi bantuan mangsa fenomena kepala air di Yan, baru-baru ini.

Pengarahnya Dr. Othman Warijo berkata, berita yang ditularkan itu tidak boleh dipercayai kerana pihaknya tidak melakukan ujian saringan terhadap sukarelawan terbabit.

Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana terhadap maklumat di dalam mesej berkenaan yang menggunakan nama Pejabat Kesihatan Daerah Yan sedangkan ia bukan sumber yang sah.

“Kenyataan yang disebarkan itu adalah palsu. Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kebimbangan orang awam terutamanya penduduk yang terlibat dalam tragedi berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Sehubungan itu, Dr Othman menasihatkan semua pihak termasuk sukarelawan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup hidung dan mulut serta mengamalkan penjarakan fizikal sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Mesej tular yang mengandungi maklumat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Yan itu meminta sesiapa yang berhasrat untuk membantu mangsa banjir di Yan menangguhkan dahulu kerana terdapat beberapa kes positif dalam kalangan NGO.

Pesanan mesej itu turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan ujian saringan dan mendapati lebih kurang 500 orang positif Covid-19 di Yan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here