Sultan Selangor mahu ADUN utamakan rakyat

0
23
Sharafuddin of Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah

CYBERJAYA – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya tidak terlalu berpolitik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat.

Titah baginda, perebutan kuasa bukan sahaja menyebabkan seseorang pemimpin melupakan nasib rakyat bahkan mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Tidakkah Ahli-ahli Yang Berhormat sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka, rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14, di Dewan Negeri Selangor di sini.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan kesal melihat pergolakan, pertelagahan dan ketidaktentuan politik negara yang begitu ketara sejak kebelakangan ini.

Titah baginda, ketika rakyat sedang menderita mengharungi kesusahan hidup akibat pandemik, ADUN sepatutnya mengambil tanggungjawab yang lebih prihatin di kawasan masing-masing dengan menyalurkan bantuan.

Selain itu titah tuanku, wakil rakyat juga sepatutnya menyemak jumlah rakyat yang hilang pekerjaan dan mencari jalan untuk membantu golongan itu selain mendapatkan data individu yang kehilangan ibu bapa, tempat pergantungan dan berhadapan dengan masalah tekanan hidup.

Menurut baginda, hal ini penting agar perkara itu boleh dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri untuk ditentukan bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada rakyat.

“Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata,” titah baginda.

Sultan Selangor juga mengingatkan Ahli Dewan bahawa mandat yang diberi oleh rakyat merupakan amanah daripada Allah yang perlu dilaksana dengan jujur, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here