
CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu berikutan mengalami masalah jantung.
Memetik laporan Utusan Malaysia yang memetik satu sumber, berikutan itu Setiausaha Agung Pas itu terpaksa menjalani pembedahan selama tiga jam.
Difahamkan, beliau telah masuk ke sebuah hospital di Lembah Klang iaitu Pusat Perubatan IHEAL, bersebelahan dengan Mid Valley, Kuala Lumpur.
“Datuk Seri Takiyuddin jalani angiogram kelmarin selama 3 jam sebab ada tiga tempat yang tersumbat.
“Bagaimanapun, keadaannya stabil dan dipercayai keluar esok,” menurut laporan itu.
Takiyuddin sebelum ini mencetuskan kontroversi berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang dijelaskan pada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat.
Takiyuddin berkata, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos.
Tambah beliau, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.