Takiyuddin selamat jalani pembedahan angiogram

0
32
Takiyuddn Hassan menjalani pembedahan akibat masalah jantung.

CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddn Hassan selamat menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital pada Isnin.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu entri terbaharu di akaun Facebooknya sebentar tadi.

“Saya baru menghubungi YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan pagi ini. Alhamdulillah beliau telah selamat menjalani pemeriksaan dan beliau maklumkan doktor telah siap memasang sten di saluran yang tersumbat.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dan dijangka akan keluar dalam sehari dua ini. Teruskan doa agar beliau cepat sembuh sepenuhnya,” tulis Tuan Ibrahim.

Terdahulu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas dimasukkan ke Pusat Perubatan IHEAL pada Jumaat lalu selepas mengalami masalah kesihatan jantung.

Beliau difahamkan menjalani pembedahan angiogram selama tiga jam di sebuah hospital di Lembah Klang dan kini berada dalam keadaan stabil.

Takiyuddin sebelum ini mencetuskan kontroversi berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang dijelaskan pada hari pertama Sidang Khas Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here