Taliban umum pertempuran tamat, mahu berdamai dengan semua pihak

0
1266
Jurucakap pejabat politik Taliban, Mohammad Naeem

KAHERAH – Puak Taliban mengumumkan penamatan pertempuran di Afghanistan dan menyeru supaya hubungan yang aman dapat dijalin dengan komuniti antarabangsa.

Menurut jurucakap pejabat politik Taliban, Mohammad Naeem dalam satu temubual bersama stesyen televisyen al-Jazeera, pihaknya tidak mahu hidup dalam pengasingan.

Apabila ditanya mengenai corak pemerintahan yang bakal dilaksanakan, Mohammad Naeem berkata ia akan menjadi jelas tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, kami menghormati hak golongan wanita dan golongan lain berlandaskan undang-undang Syariah,” kata Mohammad Naeem.

Beliau menambah, pihaknya telah membuka saluran perhubungan dengan beberapa buah negara asing bagi menyatakan hasrat mereka untuk menjalin hubungan diplomatik secara aman.

Semalam, pejuang Taliban kembali memasuki Kabul setelah dua dekad ditumbangkan oleh gerakan ketenteraan yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Kata Mohammad Naeem lagi, tiada anggota diplomatik atau ibu pejabat mereka diserang sewaktu Taliban memasuki kota itu, dan berjanji akan memastikan keselamatan mereka dan orang awam, terjamin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here