Tawaran pulangan semula bayaran yuran di Brainy Bunch

0
740
Sekitar di dalam kelas pada hari pertama di sekolah antarabangsa Brainy Bunch Montessori.

CYBERJAYA – Berita gembira buat ibu bapa dan juga penjaga apabila Brainy Bunch akan menawarkan promosi terbaharu pelan pendidikan untuk pelajarnya.

Pengasas Brainy Bunch, Mohd Fadzil Hashim berkata, pihaknya akan membuka tawaran kepada 1,000 pelajar untuk program ‘Get Back Fees Daycare Brainy Bunch’.

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, melalui program berkenaan ibu bapa akan mendapat kembali yuran yang telah dibayar dalam masa 10 tahun.

“Salah satu perkara saya perjuangkan ialah pendidikan percuma, untuk makluman kita ada lebih kurang 270 kanak-kanak ambil tawaran pendidikan percuma yang ditawarkan sebelum ini.

“Kebanyakan ibu bapa, tidak semua  boleh sambung sekolah rendah dan menengah (di Brainy Bunch). Mereka hantar tadika sahaja. Ramai mempunyai masalah kewangan

“Macam-macam cabaran sekarang, jadi salah satu inisiatif ialah kita mahu tawarkan program ini, anda bayar yuran dan dalam tempoh tertentu anda akan dapat semula (yuran).

PENGASAS dan Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim

“Kita panggil deposit komitmen pendidikan. Kita akan lancarkan program ini hari ini. Penyertaan tidak terhad, tidak kira anak 2, 3 ,4 5 tahun semua boleh sertainya,” katanya dalam sesi live di laman Facebooknya hari ini.

Menurut Mohd Fadzil, melalui program itu, ibu bapa atau penjaga hanya perlu membayar yuran dan selepas tamat tadika, perlu datang untuk kursus alumni sekali setahun dalam masa 10 tahun.

“Kursus alumni adalah program dua hari satu malam, datang untuk mantapkan semula iman dan sebagainya bagi menjamin kerohanian anak-anak selepas tamat di Brainy Bunch.

“Kursus alumni ini bernilai RM500, tetapi anda tidak perlu bayar. Jika yuran anda bayar RM21,0000 maka, dalam masa 10 tahun anda akan dapat kembali RM21,000.

“Apa yang anda bayar, anda akan dapat semula…tidak kira berapa jumlahnya dan umur pelajar. Ini adalah promosi kita dan segala maklumat lanjut akan diberikan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil berharap ramai ibu bapa dan penjaga akan mendapat manfaat daripada program yang akan diperkenalkan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here