
BANGKOK – Thailand menyemak semula kadar jangkaan pertumbuhan ekonominya kepada 0.7 hingga 1.2 peratus berikutan gelombang penularan Covid-19 yang semakin berleluasa di negara itu.
Menurut The Guardian, angka awal yang diumumkan oleh Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC) iaitu di antara 1.5 hingga 2.5 peratus dianggap “terlalu tinggi” berdasarkan situasi semasa.
“Jangkaan ini dalah berdasarkan situasi semasa di dalam negara.
“Apa yang kita hadapi kini tidak sama seperti krisis kewangan pada 1997 dan 2009,” kata Setiausaha Agong NESDC, Danicha Pichayanan, dalam satu sidang akhbar, hari ini.
Beliau menambah, semakan semula ini turut mengambil kira faktor sekiranya penularan jangkitan berjaya dilandaikan pada suku ketiga 2021, yang mana memungkinkan ekonomi tempatan dibuka semula menjelang Oktober.
“Bagaimanapun, jika pandemik ini masih berterusan dan pembukaan ekonomi tidak dapat dilaksanakan, kadar pertumbuhan mungkin akan berada lebih rendah di bawah jangkaan 0.7 peratus,” katanya lagi.
Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Thailand pada suku kedua tahun ini naik 7.5 peratus berbanding tahun lepas, yang menunjukkan tanda pemulihan ekonomi berjalan lancar.
Kadar pertumbuhan dilihat jelas dalam beberapa sektor seperti pertanian, perindustrian dan eksport, namun sektor pelancongan yang dianggap sebagai sektor terpenting Thailand, kekal lembap.
Sejak tahun lepas, Thailand telah merekodkan sebanyak 928,314 kes keseluruhan Covid-19 dengan 7,733 kes kematian.