Tiada kes kematian dalam kalangan penerima dos penuh vaksin, cukup tempoh 14 hari kematangan antibodi

0
146
GAMBAR HIASAN

KUCHING – Tiada laporan kematian akibat Covid-19 dalam kalangan individu yang telah lengkap menerima dos vaksin dan cukup 14 hari tempoh kematangan antibodi mereka di Sarawak.

Menurut Ketua Jabatan Kesiahatan negeri, Datuk Dr. Mohamad Sapian Mohamad, setakat 8 Ogos, sebanyak 449 kematian akibat pandemik itu telah direkodkan, dan daripada jumlah itu, sebanyak 425 kematian, iaitu 94.6 peratus melibatkan individu yang belum pernah menerima sebarang dos vaksin.

“Sementara itu, 21 kematian, iaitu 4.7 peratus melibatkan individu yang hanya menerima satu dos vaksin.

“Tiga lagi kes, iaitu 0.7 peratus melibatkan individu yang sudah menerima vaksin penuh, tetapi disahkan positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari selepas menerima dos kedua,” kata Dr. Mohamed Sapian kepada Bernama, hari ini.

Beliau menambah, kira-kira 88.2 peratus daripada populasi dewasa Sarawak sudah menerima dos pertama vaksin, manakala 75.9 peratus lagi sudah lengkap menerima dua dos.

“Ini merupakan usaha semua yang terlibat termasuk petugas kesihatan dan orang awam,” katanya lagi.

Dr. Mohamed Sapian turut menambah, angka pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan rapi turut menurun selari dengan peningkatan program pemberian vaksin.

Katanya, jumlah purata kes kritikal kini sudah menurun kepada 27 kes sehari, setakat semalam.

Pada Jun, angka tersebut adalah sebanyak 83 kes sehari, dan turun kepada 45 sehari pada bulan berikutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here