Tiada lagi istilah kerajaan PN, diganti dengan Keluarga Malaysia – Presiden UMNO

0
137
Datuk Seri Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Parti UMNO yang kini menjadi tunjang utama kerajaan sekarang memutuskan nama kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan digunakan lagi sebaliknya dijenamakan sebagai kerajaan Keluarga Malaysia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dan dipersetujui dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

“Kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan kerajaan PN memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara BN (Umno, MCA, MIC dan PBRS), PN (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, MKT UMNO juga bersetuju agar suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat dakwaan mengenai campur tangan politik dalam Jabatan Peguam Negara, institusi kehakiman dan keselamatan seperti didedahkan Tommy Thomas.

Ahmad Zahid berkata, UMNO turut menyahut saranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here